Malaysia tanah Airku

Malaysia tanah Airku
Jalur gemilang

Tuesday, August 11, 2009

Semangat Satu Malaysia





KUALA LUMPUR 10 Ogos - Semua pihak diingatkan supaya menerima dan menghormati Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh termasuk perkara berkaitan hak-hak keistimewaan bumiputera yang termaktub dalam Artikel 153 perlembagaan tersebut.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu mempunyai pandangan holistik dan seimbang dalam menafsir semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kerana ia digubal berasaskan fakta sejarah, politik serta ekonomi.
"Kita tidak harus menonjolkan satu artikel tertentu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan ia berat sebelah kepada kaum lain sedangkan terdapat beberapa lagi peruntukan dalam perlembagaan yang menjamin hak-hak semua kaum seperti kewarganegaraan dan kebebasan beragama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel dalam forum bertajuk Perlembagaan Persekutuan Malaysia: Penafsiran dan Pemahaman Artikel 153 dalam Pembentukan Bangsa Malaysia pada Persidangan Tahunan Pemimpin-Pemimpin Pelajar Malaysia Kali Ke-3 di sini.
Persidangan anjuran Majlis Tertinggi Pelajar Malaysia, United Kingdom dan Ireland (UKEC) itu bertujuan menyediakan platform kepada pemimpin pelajar dari serata dunia untuk mengadakan perbincangan ilmiah dan bertukar-tukar pendapat dengan tokoh-tokoh terkemuka tanah air.
Tsu Koon yang juga Presiden Gerakan berkata, cabaran yang dihadapi kerajaan sekarang adalah bagaimana untuk memastikan rakyat memperkasa dan mengadaptasikan semangat perlembagaan negara dalam gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Kita harap gagasan 1Malaysia akan dapat membawa semua rakyat bersama-sama maju ke hadapan sementara perbezaan dan kepelbagaian yang wujud sesama mereka tidak dianggap sebagai sesuatu yang menghalang perpaduan nasional," jelasnya.
Tambahnya, Najib telah menjelaskan bahawa gagasan 1Malaysia bukan berasaskan asimilasi kerana ia menghormati kepelbagaian dan hak-hak semua kaum tanpa mengetepikan hak bumiputera seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan lain, Tsu Koon berkata, kerajaan akan berusaha menarik lebih ramai kaum bukan bumiputera untuk menyertai sektor perkhidmatan awam agar ia dapat menggambarkan matlamat serta aspirasi sebenar gagasan 1Malaysia.
Katanya, ramai kaum bukan bumiputera berpandangan bahawa mereka sukar mendapat kenaikan pangkat jika menyertai sektor perkhidmatan awam memandangkan majoriti penjawat awam adalah kaum bumiputera.
"Mereka juga lebih rela bekerja sebagai penjaja daripada menjadi seorang anggota polis kerana merasakan pendapatan yang diraih itu adalah lebih tinggi berbanding gaji seorang anggota keselamatan.
"Inilah aspek yang akan kita kaji dan teliti supaya matlamat gagasan 1Malaysia dapat dicapai melalui penglibatan semua kaum secara aktif dalam sektor perkhidmatan awam," katanya

No comments:

Post a Comment