Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mahu seluruh jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) bangkit menyerang balas pembohongan pembangkang bagi mengelak rakyat terus terpesong dengan pembohongan mutlak pihak lawan.
Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya untuk menyerang balas kerana seperti permainan bola sepak Piala Dunia, UMNO dan BN tidak boleh bertahan semata-mata, akhirnya benteng pertahanan mungkin ‘bocor’ juga.
Beliau menegaskan, pakatan pembangkang memang pandai berbohong dan putar alam bagi mempengaruhi rakyat supaya memandang buruk kepada UMNO dan BN.
“Pihak satu lagi (pembangkang) memang pakar pusing cerita, hanya 10% ceritanya betul, malah kadang kala 2% saja ceritanya, tetapi dihebahkan seolah-olah cerita itu besar.
“Mereka (pembangkang) gunakan permainan persepsi untuk kepentingan politik mereka, masalahnya bukan kerana UMNO tidak baik, bukan kerana BN tidak baik, bukan UMNO dan BN tidak banyak berjasa kepada negara, tetapi memburukkan persepsi adalah mainan politik mereka.
“Jika dulu tak perlu kita lakukan perkara ini (perbetulkan persepsi), dulu (pentingkan) soal pembangunan saja… sekarang ni politik mesti perbetulkan persepsi.
“Kalau kita beri peruntukan saja tak cukup, kita beri peruntukan kepada sekolah Cina pun tak cukup, sebab akibat persepsi ada lagi yang tak puas hati. Jadi kita kena betulkan persepsi ini, buat serangan balas macam pasukan Piala Dunia.
“Suasana politik kini berbeza, janganlah guna cara lama, orang lain guna cyberspace, kita kena buktikan kita lebih cekap daripada mereka kerana kita benar,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan UMNO Bahagian Bagan Datoh, di sini, hari ini.
Presiden UMNO itu berkata, UMNO ini sudah lama dan lumrahnya ‘barang lama’ sukar untuk dijual dan dihidangkan kepada ramai sebagai menarik dan bagus.
Beliau berkata, di dalam keadaan begitu cabaran kepada ahli dan pemimpin adalah memikirkan cara ‘barang lama’ boleh dilihat ramai sebagai sesuatu yang sangat menarik dan mendapat sokongan.
“UMNO sendiri mesti menggunakan pendekatan atau metadologi terkini dalam menangkis pembohongan itu serta supaya rakyat melihat parti itu cekap, dinamik dan segar.” -MediaUMNO